Nurul Izzah disambut meriah peyokong PKR di lapangan terbang
MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal menggempur kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Sarawak seawal 2014.
Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar berkata, jentera akan digerakkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.
“Pihak kami khususnya dari Semenanjung Malaysia akan turun membantu untuk bersedia menghadapi BN seawal mungkin sebelum PRN,” katanya pada Majlis Makan Malam Pra-Krismas dan Makan Malam Amal di sebuah restoran di sini malam Rabu lalu.
Menurutnya, PKR dan Pakatan Rakyat (PR) yang lain turut bersedia menghakis tanggapan bahawa Sarawak merupakan deposit tetap bagi BN.
Bagaimanapun, Nurul yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengakui ia bukan tugas mudah untuk menghadapi PRN berkenaan.
“Kami tidak dapat lakukannya bersendirian, kami perlukan keberanian, semangat dan kesungguhan,” ujarnya.
Sementara itu, pada majlis yang sama Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian mempersoalkan mengapa projek pencarian minyak dan gas di Sarawak diberikan kepada syarikat luar negara.
“Ia (kajian dan projek pencarian minyak) diberikan kepada sebuah syarikat luar negara dan syarikat subsi-diarinya juga,” jelas Baru.
Beliau meminta penjelasan daripada Kerajaan Negeri Sarawak mengapa projek seperti itu tidak melibatkan syarikat-syarikat tempatan di Sarawak.
Pada malam berkenaan, turut diutarakan adalah masalah berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sijil kelahiran dan MyKad masyarakat pedalaman serta beberapa isu lain.
Turut hadir dan berucap pada majlis sama adalah Ahli Parlimen Miri Michael Teo, Timbalan Ketua PKR Baram Rolland Engan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Ali Biju, ADUN Piasau Alan Ling, ADUN Pujut Fong Pau Teck dan Timbalan Pesuruhjaya III Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak Jofree Jaraiee.