BANGKOK, 10 Nov (Bernama) -- Tidak ramai orang yang akan berhempas pulas untuk memenuhi impian zaman kanak-kanak mereka. Kebiasaannya, impian itu dilupakan dan kebanyakannya akan bergerak menuju haluan yang berbeza.
Bagaimanapun, selepas bersara, impian yang sukar difahami itu mungkin dihidupkan semula. Untuk beberapa kerat individu sahaja seperti Andrew Nanang, ia adalah sesuatu yang boleh dilakukan walaupun itu bermakna perlu memulakan satu pengembaraan, ribuan batu jauhnya, dengan sedikit wang saku.
Hari ini, lelaki keturunan Iban berumur 56 tahun dari Sarawak, ialah seorang ahli perniagaan yang berjaya di Thailand. Bagaimanapun, kehidupan tidak pernah berjalan lancar bagi beliau. Malah, beliau menghadapi banyak rintangan yang sebenarnya satu rahmat yang mendorong beliau memenuhi impian zaman kanak-kanaknya.
Dilahirkan dan dibesarkan di sebuah bandar kecil, kemudiannya dikenali sebagai Simanggang di Sarawak, Andrew atau Andy, panggilan mesra di kalangan rakan-rakannya atau 'Ru' apabila di rumah, sentiasa mengimpikan tinggal di kawasan bersalji dengan menjalani gaya hidup secara akademik Barat.
Oleh itu, selepas lulus Tingkatan Lima dengan cemerlang di Sekolah Menengah Simanggang dan hanya seorang sahaja terpilih dari sana untuk meneruskan pengajian Tingkatan Enam di Sekolah Menengah St Thomas di Kuching, beliau nampak keadaan itu satu langkah ke depan bagi memenuhi impiannya. Bagaimanapun, selepas menamatkan Tingkatan Enam, dan gagal memasuki universiti tempatan dan apabila ramai yang mengalah dan mencari pekerjaan, Andrew membuat keputusan sebaliknya. Beliau meneruskan impiannya untuk pergi ke Barat.
Bagaimanapun dengan hanya RM200 dalam poketnya, tanpa biasiswa atau bantuan kewangan keluarga, pada 1978, beliau menaiki kapal terbang ke Chicago atas biaya sendiri dan meneruskan usaha untuk menyambung pengajian di University of Illinois Chicago Circle (UICC). Sehingga hari ini, apabila ditanya bagaimana beliau boleh berjaya melakukannya dengan hanya RM200 dalam sakunya, beliau sendiri hairan dan tidak mahu menoleh ke belakang," kata Andrew. Untuk meringkaskan cerita, ia adalah satu rahmat. Beliau lulus dan memulakan kehidupan dengan bekerja sebagai pengurus daerah bagi sembilan restoran Burger King.
Pada masa itu beliau mula membenci keadaan salji yang membeku dan secara kebetulan bertemu rakan pelajar wanita UICC dari Thailand, jatuh cinta, berkahwin dan itu merupakan punca kenapa dia di Thailand hari ini. Selepas 10 tahun di Chicago, beliau dan isterinya memutuskan untuk pulang ke kampung tetapi kampung yang mana satu?
Isteri Andrew orang Thai, yang sukakan Malaysia tetapi beliau seorang rakyat Malaysia yang sukakan Thailand. Jalan menjadi buntu. Sebagai tanda bertolak ansur, mereka mengambil keputusan untuk menguji selama sebulan di setiap negara sebelum membuat keputusan. Beliau menang dan sejak itu, beliau menetap dan mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga di Thailand sejak 27 tahun lepas.
Mungkin beliau satu-satunya keturunan Iban di dunia yang telah tinggal dan menetap sebegini lama di Thailand. Beliau terus bekerja dan daripada seorang yang tidak mempunyai apa-apa kedudukan sehingga menjadi seorang pengarah di True Corporation, sebuah perkhidmatan tumpuan utama (termasuk mudah alih dan jalur lebar) pengusaha yang mengendalikan pengurusan produk dan aplikasi IT di Thailand. Seorang Iban dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera secara tiba-tiba menjadi celik IT, Andrew menyatakan secara ironi.
Hari ini, beliau merupakan pengarah urusan dan memiliki perniagaan. Sejak persaraannya daripada True Corp dua tahun lepas, beliau menjalankan dua jenis perniagaannya; satu berniaga audio visual dan aksesori mudah alih dan satu lagi aplikasi mudah alih dan 'cloud computing'.
Beliau berkata perniagaan itu kini menunjukkan hasil dan perancangan awalnya ialah menjelang tahun depan, beliau boleh menyerahkan perniagaan itu kepada anak lelaki tunggalnya, Matt Nanang dan kemudian hidup sebagai pengerusi Iban yang sentiasa senang hati dan menikmati sukan kegemarannya, golf. Tetapi nasibnya tidak seperti yang disangka. Beliau tidak bersara secara senyap-senyap. Tiba-tiba pada 2011, Duta Malaysia ke Thailand pada ketika itu,
Datuk Husni Zai Yaacob, rakan golfnya yang hebat dan kini pesuruhjaya tinggi ke Singapura mengundang beliau untuk bertanding sebagai presiden Kelab Malaysia Thailand (KMT). Beliau menerima dengan berat hati dan telah dipilih selepas mendapat kemenangan besar dan kemudian menang tanpa bertanding untuk penggal kedua, awal tahun ini. "Ia adalah masa untuk memberi balik kepada masyarakat, merupakan mesej kegemarannya hari ini.
Sebagai presiden KMT komitmen utamanya adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat Malaysia yang tinggal dan melawat Thailand sekali gus memupuk konsep 'kebersamaan melangkaui sempadan' yang sejajar dengan dasar 1Malaysia di Malaysia. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelab itu, layari laman web www.kelabmalaysia.org atau jika anda seorang peminat Facebook sila layari Facebook/kelabmalaysia.org. -- BERNAMA